8 masjid di Negeri Sembilan dibenar laksana solat Jumaat

SEREMBAN, 4 Jun – Orang awam di Negeri Sembilan dibenar untuk menunaikan Solat Jumaat bermula Jumaat ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, ia merupakan langkah percubaan bagi melihat kepatuhan orang awam terhadap SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kebenaran tersebut akan diteruskan sekiranya tahap pematuhan orang awam memuaskan.

Lapan buah masjid terpilih iaitu Masjid Negeri, Masjid Taqwa Kg Paroi, Masjid Karish Paroi Jaya, Masjid Jamek Gemas, Tampin, Masjid Tuanku Muhriz Jempol, Masjid Kariah Bunga Tanjung, Kuala Klawang, Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof Sikamat dan Masjid Jamek Dato Haji Abdullah Sijang Port Dickson.

Anggaran jemaah yang dibenar untuk menunaikan solat Jumaat tersebut bergantung kepada kapasiti dan saiz keluasan masjid.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban.

Bagi mendapat kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat, orang awam boleh membuat permohonan dan mendapatkan QR Code secara dalam talian menerusi laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Hanya individu berumur dari 20 hingga 60 tahun yang dibenar untuk membuat permohonan tersebut.

Sumber: Berita

Read more